Saturday, March 28, 2015

Pengurusan Bilik Darjah



Konsep Pengurusan Bilik Darjah

Pengurusan bilik darjah menurut Mok Soong Sang (2011), merujuk kepada satu proses pembentukan satu alam pembelajaran yang kondusif untuk pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta usaha-usaha untuk mengekalkannya . Suasana pembelajaran yang kondusif sangat penting agar objektif PdP dapat dicapai dan murid berasa selesa dan bermotivasi untuk belajar. Menurut Bosch (2006) pula, pengurusan bilik darjah merujuk kepada bagaimana guru dan pelajar bekerja, bagaimana mereka saling bekerjasama dan bagaimana PdP berlaku. Dalam hal ini, pengurusan bilik darjah merupakan pakatan antara guru dan pelajar untuk menguruskan segala aspek yang terdapat dalam bilik darjah termasuk pengurusan pelajar, kemudahan fizikal bilik darjah serta aktiviti yang dijalankan untuk mewujudkan satu suasana pembelajaran yang kondusif.

         Seorang guru bukan hanya berperanan untuk mengajar, tetapi juga bertindak sebagai pengurus, yakni mengurus bilik darjah, mengurus murid- murid supaya menjalankan tugas membersihkan bilik darjah mengikut jadual yang telah ditetapkan, memastikan murid-murid mematuhi peraturan bilik darjah, mengurus keadaan fizikal bilik darjah supaya menjadi lebih kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran, mengurus bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran agar lebih berkesan serta mengurus aktiviti kumpulan supaya dapat dilaksanakan dengan teratur mengikut perancangan.
           
      Pengurusan bilik darjah yang teratur dan berkesan mampu meningkatkan prestasi akademik pelajar. Hal ini demikian kerana, pengurusan bilik darjah yang baik mampu mempengaruhi motivasi, tingkah laku, dan penglibatan pelajar dalam proses PdP. Oleh itu, seorang guru perlu bijak mengurus bilik darjah dan mengawal tingkah laku pelajar agar proses PdP dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.


Contoh keadaan fizikal bilik darjah yang kemas dan menarik
  
Keadaan bilik darjah yang kondusif dapat memberi motivasi dan menggalakkan respon positif pelajar terhadap proses PdP. 

Faktor-faktor  yang Mempengaruhi Pengurusan Bilik Darjah
Untuk melaksanakan peranan pengurus yang berkesan, guru perlu tahu iklim persekitaran bilik darjah dan apakah faktor-faktor yang boleh membantu untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang sihat.  Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada suasana tersebut.  Antaranya adalah susunan fizikal dan tempat duduk bilik darjah dan persekitaran psikososial semasa di dalam bilik darjah.

1. Faktor fizikal


  • Faktor pertama yang mempengaruhi suasana bilik darjah adalah persekitaran fizikal. Bilik darjah yang menarik adalah kondusif untuk pembelajaran.  Susunan peralatan dan kemudahan dalam bilik darjah seperti kerusi-meja, buku rujukan, pusat pembelajaran, bakul sampah, papan tulis dan lain lain akan membantu keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran serta mengekalkan disiplin murid-murid dalam bilik darjah. Sebagai rumusan, suasana fizikal bilik darjah yang boleh meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran ialah: Penyusunan kerusi-meja murid mengikut kumpulan yang sesuai akan memudahkan interakssi di antara murid dengan murid dan guru dengan murid.
  • Suasana di bilik darjah yang dihiasi dan diatur kemas dengan pelbagai  carta, gambar dan alat bantu mengajar.  Saiz bilik yang mencukupi memberi keselesaan kepada murid-murid unruk menjalankan pelbagai aktiviti kumpulan atau permainan. Tingkap dan pintu yang mencukupi untuk pencahayaan dan pengedaran udara dengan baik serta

·       keadaan kebersihan dan keindahan bilik darjah. 


2. Faktor psikososial

Psikososial merujuk kepada hubungan antara keperluan emosi individu dengan persekitaran sosialnya.  Persekitaran psikososial yang sihat di dalam bilik darjah mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
·         Suasana selesa dan mesra.
·         Bebas daripada ancaman dan bahaya fizikal
·         Perasaan diterima
·         Sensitif dan peka kepada perbezaan individu.
·         Suasana yang merangsang pembelajaran
·         Mewujudkan komunikasi terbuka dan menggalakkan perkongsian idea.
·         Menggalakkan pembelajaran koperatif.
·         Peluang yang sama untuk semua pelajar.

Faktor yang memberikan kesan kepada persekitaran psikososial yang sihat ialah pendekatan pengajaran, gaya kepimpinan guru, bentuk komunikasi dan corak interaksi yang beliau wujudkan di dalam bilik darjah.

(a)  Pendekatan pengajaran
Pendekatan pengajaran guru perlu mengambil kira keperluan murid, perkembangan kognitif dan juga gaya pembelajaran pelajar yang berbeza.  Antara keperluan pelajar termasuklah keperluan untuk memahami matlamat dan objektif pengajaran, melibatkan diri secara aktif dalam proses pembelajaran, mengetahui hubungan antara perkara yang dipelajari di dalam bilik darjah dengan kehidupan mereka, menikmati kejayaan, memperoleh maklum balas dan berinteraksi secara positif dengan rakan sebaya. 

(b)  Gaya Kepimpinan guru 
Gaya kepimpinan yang berbeza akan memberi kesan kepada suasana pembelajaran pelajar.  Kepimpinan autoritarian mengawal pelajar melalui ganjaran dan hukuman dan menekan murid yang membuat kesilapan.  Ingatkah anda, guru yang sentiasa memarahi anda, setiap kali anda membuat kesilapan seperti tidak boleh menyelesaikan masalah matematik yang mudah?  Guru jenis ini mewujudkan suasana pembelajaran yang tertekan dan mewujudkan suasana kelas yang tidak kondusif.

       Satu lagi gaya kepimpinan yang ditunjukkan oleh seorang guru adalah bersifat demokratik.  Guru tersebut akan berkongsi tanggungjawabnya dengan muridnya.  Terdapat saling hormat dan percaya antara guru dengan murid.  Pernahkah anda mempunyai guru sedemikian semasa anda bersekolah?  Saya rasa anda mungkin suka pada guru jenis ini kerana dia selalu memberi galakan dan tidak memberi desakan.  Guru anda ini baik, mengambil berat, dan mesra, tetapi dia juga tegas.  Dengan berkongsi tanggungjawab, guru anda menolong anda membina penghargaan kendiri anda.  Anda berkeyakinan untuk cuba menyelesaikan soalan atau  masalah yang anda tidak biasa.  Penyelidikan telah menunjukkan bahawa produktiviti dan pencapaian adalah tinggi bagi guru yang mengamalkan kepimpinan demokratik.

      Pendekatan gaya kepimpinan yang seterusnya adalah bersifat laissez-faire. Guru akan membuat kerja sendiri dan memberi kebebasan tanpa batasan.  Murid-murid diberi kebebasan untuk membuat kerja mereka masing-masing. Kepimpinan jenis ini menyebabkan kelas menjadi kucar kacir.  Guru bersifat laissez-faire menyebabkan bilik darjah yang tidak terancang,  murid-murid yang ingin belajar berasa kecewa. 

(c)  Komunikasi dan corak interaksi        
Komunikasi berkesan merupakan asas kepada pengurusan bilik darjah yang baik. Kemahiran berkomunikasi berkesan memberikan peluang kepada guru bersikap mesra dan menikmati interaksi dengan murid-muridnya. Murid akan dapat merasakan dirinya dihargai dan disayangi oleh guru. Hal ini juga membolehkan guru menyampaikan odjektif pengajarannya dengan jelas.

     Kemahiran dalam komunikasi boleh dibahagikan kepada dua, iaitu kemahiran menghantar maklumat dan kemahiran menerima maklumat. Kemahiran menghantar maklumat termasuklah pertuturan yang jelas dengan penggunaan bahasa yang sesuai. Penggunaan bahasa yang sesuai juga bermakna guru perlu sopan. Guru harus memandang ke arah murid, mewujudkan kontak mata apabila bercakap dengan murid tersebut. Apabila menegur murid, teguran harus berfokus kepada tindakan murid dan bukan kepada murid.  Misalnya, apabila guru hendak menegur murid yang bercakap semasa guru sedang mengajar,dia boleh berkata ‘Perbualan kamu menyukarkan pengajaran saya Hamid’ dan bukan ‘Hamid, kamu ini bising sangat’. Maklum balas yang diberi kepada murid mesti jelas dan spesifik. Misalnya, apabila Hamid bercakap semasa cikgu sedang mengajar, dia mengalihkan perhatian cikgu dan menyukarkan pengajaran. Sekiranya guru berkata, ‘Kamu ni kurang ajar’, kenyataan ini umum dan tidak diberitahu Hamid masalah yang sebenarnya dan bersifat menghina.

      Seterusnya, sekiranya memberikan pujian, pastikan pujian tersebut spesifik untuk tingkah laku yang ditunjukkan murid. Misalnya, jika pencapaian seseorang murid bertambah baik, guru boleh berkata ‘Usaha kamu telah membawa kepada kejayaan ini,tahniah!’ dibanding dengan ‘Tahniah kamu dapat markah tinggi!’.

    Kemahiran menerima maklumat atau kemahiran mendengar penting dalam menjalinkan hubungan dengan murid. Seseorang murid akan berasa dirinya dihormati dan penting apabila guru memberikan perhatian kepada pandangannya. Semasa mendengar, guru perlu sensitif terhadap apa yang dikatakan oleh murid dan memberikan respon yang wajar. Memberikan respon dengan cepat semata-mata supaya guru boleh meneruskan kerjanya boleh menyebabkan guru terlepas pandang perkara sebenar yang ingin disampaikan oleh murid. Maka guru mesti sabar dan memberikan respon seperti mengangguk kepala, mengerut dahi dan menjawab ‘Aha’ atau ‘Oh’, memfrasa semula apa-apa yang dikatakan oleh murid misalnya, ‘Maksud kamu..’ atau ‘Jadi kamu sebenarnya..’.  Apabila guru memberikan respon, murid akan terdorong untuk meluahkan rasa hati kerana dia merasakan guru berminat dengan perkara yang hendak dikatakannya.

        Komunikasi dua hala turut menggalakkan interaksi antara guru dan murid. Pada masa yang sama, guru boleh merancang aktiviti untuk murid boleh bekerja dalam kumpulan dan saling membantu serta bertukar idea. Namun, kadang kala sesetengah murid akan menghadapi masalah dalam menyesuaikan diri di dalam kelas. Ada murid yang bersikap introvert, mungkin tersingkir dan sukar diterima oleh rakan. Manakala murid yang ekstrovert yang ingin didampingi oleh ramai murid di dalam kelas. Guru dapat mengetahui tahap interaksi sosial melalui pemerhatian dengan menggunakan teknik sosiometri. Pengetahuan tahap sosial murid membantu guru membentuk kumpulan yang dapat bekerjasama.  

Rumusannya, guru tidak harus mengamalkan jenis komunikasi yang bersifat sehala.  Komunikasi yang diamalkan oleh guru ialah komunikasi yang terbuka dan bersifat dua hala.  Dengan cara komunikasi begini, anda akan menggalakkan murid untuk melibatkan diri secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran.


3. Faktor Rutin Bilik Darjah


      Konsep Rutin
  
Rutin bilik darjah merujuk kepada aktiviti pengurusan harian bilik darjah.  Ia juga adalah satu prosedur yang tetap dan perlu dijalankan sebagai aktiviti harian bilik darjah.  Rutin pengurusan bilik darjah yang sistematik bukan hanya membentuk persekitaran bilik darjah yang kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran, tetapi juga meningkatkan semangat kekitaan murid, keselamatan dan meningkatkan disiplin kendiri murid.  Tambahan pula, ia menjimatkan masa dan tenaga guru dan murid, dan memupuk sikap yang baik dalam diri murid seperti bersifat koperatif dan bertanggungjawab.

      Guru perlu menerangkan kepada murid tentang rutin bilik darjah pada awal tahun.  Semua murid perlu faham dan jelas tentang rutin, peraturan dan prosedur bilik darjah supaya mereka boleh menjalankan tanggungjaawab mereka secara ikhlas dan sukarela.  Contoh rutin bilik darjah termasuklah mengambil kehadiran murid, memungut yuran, menyusun kerusi dan meja serta menyiapkan jadual bertugas.

Jenis-jenis Rutin

(a)  Rutin Kelas (bukan akademik)

Seorang guru perlu mewujudkan persekitaran fizikal bilik darjah yang kondusif dan membuat beberapa peraturan dan prosedur asas bilik darjah untuk memudahkan proses pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.  Pengurusan peraturan dan kebersihan bilik darjah juga bertujuan untuk mengurangkan masalah disiplin dan memastikan bilik darjah berada dalam suasana yang kondusif. 

      Contoh rutin bilik darjah:  mengurus kebersihan bilik darjah, termasuk menyapu lantai, menyusun kerusi dan meja serta membersihkan papan tulis, membentuk peraturan dan jadual bertugas murid.


(b)       Rutin Pentadbiran

Guru juga memainkan peranan sebagai seorang pentadbir.  Adalah penting bagi seorang guru mengurus pentadbiran bilik darjah secara berkesan kerana ini akan membantu murid-murid belajar dalam suasana yang selesa dan tenteram. Ini dapat menjimatkan masa dan tenaga guru serta murid. Ini boleh memberi  manfaat kepada pembelajaran murid.  Murid akan lebih berasa selamat dan berdisiplin.

       Contoh rutin pentadbiran:  mengambil kehadiran murid, memungut yuran (seperti yuran peperiksaan, derma PIBG), menyediakan laporan kemajuan murid dan rekod kesihatan murid.


(c)        Rutin Pergerakan Murid

Murid perlu tahu prosedur pergerakan dari satu aktiviti atau bilik darjah kepada yang lain.  Contohnya kebanyakan sekolah memerlukan murid untuk beratur sebelum pergi ke makmal sains dan komputer, bengkel kemahiran hidup dan Sains Rumahtangga.  Ini bertujuan untuk melatih murid agar lebih berdisiplin sewaktu bergerak ke makmal atau mengikuti aktiviti luar.

 Contoh rutin pergerakan murid:  murid bergerak dari
     i.    aktiviti dalam ke aktiviti luar, 
     ii.   aktiviti kelas kepada aktiviti kumpulan, 
    iii.   kelas ke makmal komputer.


(d)       Rutin Pengurusan Tugasan

Rutin jenis ini termasuklah persediaan guru terhadap tugasan, aktiviti sumber pengajaran dan pembelajaran dan membina pusat aktiviti.  Untuk memastikan kelicinan dalam mengimplementasikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, guru perlu memberitahu murid tentang hasil pembelajaran yang diharapkan, apa yang perlu mereka lakukan dan cara mereka mengetahui pencapaian hasil pembelajaran mereka.  Guru juga perlu memantau aktiviti bilik darjah dan menilai pencapaian murid.


(e)        Rutin Pembelajaran

Rutin jenis ini berlaku dalam pada setiap hari dan ini membantu menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran.  Prosedur yang betul sewaktu menjalankan rutin adalah penting dan murid harus melibatkan diri secara langsung di mana perlu.  Contoh rutin pembelajaran:  memungut buku latihan, menanda latihan, mengagihkan sumber dan buku.


(f)        Rutin Interaksi

Pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah menekankan aktiviti yang berfokuskan murid.  Interaksi seperti interaksi murid-murid dan guru-murid adalah digalakkan.  Murid perlu tahu prosedur bertanya atau menjawab, perkara yang diharapkan semasa berada di pusat pembelajaran semasa menjalankan perbincangan dan aktiviti bilik darjah yang lain.

     Contoh rutin interaksi:  Perbincangan kelas dan kumpulan kecil, membuat ujikaji makmal, aktiviti kumpulan seperti main peranan dan projek.




4.Faktor Disiplin Bilik Darjah

Konsep Disiplin Bilik Darjah

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), disipilin ialah peraturan yang ditetapkan untuk melatih seseorang supaya berkelakuan baik. Olivia (1956) pula mendefinisikan disiplin sebagai kawalan diri, kawalan dari luar, patuh kepada autoriti, keadaan bilik darjah yang teratur, kursus pengajian yang sistematik dan cara yang menetapkan peraturan atau hukuman. Disiplin dikenakan kepada pelajar di sekolah supaya dapat mengawal tingkah laku mereka. Disiplin juga dilaksanakan di dalam bilik darjah supaya pelajar patuh kepada peraturan bilik darjah, berkelakuan baik dan mendisiplinkan diri semasa Proses Pengajaran dan Pembelajaran (PDP) berlangsung. Pelajar yang mematuhi peraturan dan disiplin bilik darjah akan mewujudkan suasana yang harmoni untuk melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Keadaan ini membolehkan Proses Pengajaran dan Pembelajaran dijalankan secara sistematik, teratur dan lancar tanpa sebarang gangguan. Sudah pasti aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih berkesan.

Jenis-jenis disiplin
Lingdren (1976) membahagikan disiplin bilik darjah kepada empat jenis iaitu disiplin arahan guru, disiplin arahan kerja, disiplin arahan kumpulan dan disiplin arahan diri.

1. Disiplin arahan guru
Dalam konteks pengurusan bilik darjah, guru bertanggungjawab untuk mengawal disiplin pelajar. Disiplin yang baik dalam bilik darjah dapat menjamin kelancaran dan keberkesanan Proses Pengajaran dan Pembelajaran (PDP) dalam kelas. Seseorang guru bertanggungjawab untuk menentukan peraturan dalam bilik darjah dan memastikan semua pelajar mematuhinya. Pelajar yang melanggar peraturan hendaklah dihukum. Disiplin arahan guru ini bersifat autokratik kerana guru mempunyai kuasa mutlak atas pengurusan, arahan, kawalan dan hukuman berlandaskan peraturan yang telah ditetapkan.

2. Disiplin arahan kerja
Disiplin arahan kerja wujud apabila seseorang guru memberikan arahan kepada pelajar  untuk menyiapkan sesuatu kerja dalam tempoh yang ditetapkan. Disiplin jenis ini dibentuk berlandaskan kesedaran keperluan dan kebaikannya untuk pelajar mematuhi arahan dan menyempurnakan tugasan mengikut masa yang telah ditetapkan. Disiplin ini mempunyai ciri motivasi yang positif kerana dapat mengalakkan pelajar untuk menyiapkan tugasan untuk kebaikan dan kepentingan mereka sendiri. Namun begitu, bukan semua pelajar yang dapat mematuhi disiplin yang telah ditetapkan. Sudah pastinya ada pelajar yang tidak mempunyai disiplin arahan kerja dan tidak menyempurnakan tugasan mereka mengikut yang telah dijadualkan. Kematangan pelajar dan jenis tugasan yang diberikan mempengaruhi tahap disiplin ini dipatuhi. Guru memainkan peranan penting dalam situasi ini. Guru harus bertindak lebih tegas dan mengenakan hukuman kepada pelajar yang ingkar arahan. Selain itu, guru juga perlu menyesuaian tugasan dengan kemampuan pelajar supaya mereka dapat menyiapkan kerja pada tempoh yang telah ditetapkan.

3. Disiplin arahan kumpulan
Disiplin arahan kumpulan wujud dalam sesuatu kumpulan dengan tujuan untuk menjalankan sesuatu aktiviti pembelajaran dengan lancar dan berkesan. Guru memainkan peranan sebagai pembimbing dan pemantau manakala ketua kumpulan akan mengawal pelajar  supaya aktiviti kumpulan dapat dijalankan dengan sistematik. Guru akan membimbing ketua kumpulan terlebih dahulu supaya norma dan kepercayaan yang diamalkan adalah sesuai, sihat dan setimpal dengan disiplin bilik darjah. Proses penyesuaian mengikut norma satu-satu kumpulan akan berlaku dan menghasilkan kawalan disiplin dalam kalangan ahlinya.

4. Disiplin arahan diri
Disiplin arahan diri bermaksud keadaan yang membuatkan pelajar mematuhi peraturan yang sudah ditentukan tanpa didenda. Pelajar mematuhi peraturan bilik darjah secara sukarela tanpa dipaksa atau diarah oleh guru. Disiplin arahan diri ini boleh diwujudkan secara tidak langsung apabila pelajar telah mencpai tahap kematangan, iaitu boleh berfikir secara rasional. Namun begitu, disiplin ini juga boleh dipupuk melalui latihan dan bimbingan oleh guru. Pelajar perlu difahamkan tentang kepentingan dan kebaikan mematuhi peraturan sama ada dalam bilik darjah ataupun sekolah.

Disiplin arahan diri merupakan jenis disiplin yang paling berkesan dalam pengurusan bilik darjah. Hal ini demikian kerana apabila pelajar menyedari kepentingan mematuhi peraturan-peraturan bilik darjah mahu pun sekolah, masalah disiplin di sekolah dapat dikurangkan ke peringkat yang minimun.


Punca masalah disiplin dalam bilik darjah

1. Proses Pengajaran dan Pembelajaran yang bosan
2. Pengurusan guru yang lemah
3. Interaksi rakan sebaya, perbualan dan bunyi bising dari luar kelas


Cara menangani masalah disiplin dalam kalangan pelajar

1. Amaran konstruktif
Amaran ini digunakan apabila pelajar menunjukkan tingkah laku yang tidak diingini sehingga menganggu Proses Pengajaran dan Pembelajaran (PDP). Keberkesanan tindakan ini bergantung kepada perkara yang diperkatakan dan cara amaran tersebut disampaikan. Prosedur unutk menyampaikan amaran konstruktif yang berkesan adalah seperti berikut :

           i.            Guru perlu mendapatkan perhatian pelajar dan menegaskan bahawa ini adalah satu amaran.
         ii.            Guru menjelaskan tingkah laku yang dikehandaki secara eksplisit.
   iii.    Guru menjelaskan tindakan yang akan diambil terhadap pelajar yang tidak memberikan kerjasama.
        iv.            Guru hendaklah memberikan amaran secara ringkas.
   v.    Guru meneruskan pengajaran dan memberikan pujian sekiranya pelajar yang bermasalah menunjukkan perubahan tingkah laku.
       vi.            Beri pelajar satu amaran sahaja.

2. Hukuman
Respon yang kerap kali diberikan terhadap pelajar yang bertingkah laku negatif ialah hukuman. Hukuman boleh menimbulkan kesan yang positif dan boleh juga menimbulkan kesan yang negatif. Menurut Englander (1986), hukuman mungkin menghalang pembelajaran dan gagal mendidik pelajar cara-cara mempelbagaikan tingkah laku. Emmer dan Aussiker (1987) pula menyatakan bahawa hukuman mungkin tidak dapat menghasilkan perubahan pada tingkah laku. Kesan sesuatu hukuman bergantung kepada guru. Guru memainkan peranan yang penting sama ada hukuman tersebut akan menimbulkan kesan yang negatif atau kesan positif.

3. Pencegahan salah laku
Guru haruslah berupaya untuk mencegah salah laku pelajar sebelum ia menjadi lebih serius. Antara langkah yang boleh guru ambil untuk mencegah tingkah laku yang negatif ialah :
a.       Memahami dinamika bilik darjah
Seseorang guru hendaklah berupaya untuk memahami tingkah laku dan perhubungan antara pelajar dalam kelas.

b.      Pengajaran berkesan
Kebanyakkan masalah disiplin dalam bilik darjah berpunca daripada aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang membosankan. Pengurusan bilik darjah yang tidak berkesan juga menyumbang sebgagai faktor berlakunya masalah displin dalam kalangan pelajar. Pelajar yang hilang minat semasa proses PDP akan bertukar kepada tingkah laku negatif. Oleh hal yang sedemikian, guru hendaklah merancang pengajaran dan pembelajaran yang sistematik dan menarik. Guru perlulah kreatif dan menggunakan teknik berpusatkan pelajar untuk menarik perhatian pelajar. Bahan bantu mengajar juga penting untuk merangsang minat pelajar terhadap pembelajaran.

c.   Susun atur tempat duduk

         Guru bertanggungjawab untuk menyusun atur tempat duduk pelajar bagi memudahkan guru memerhati dan memudahkan pergerakan mendekati pelajar. Tempat duduk pelajar hendaklah memudahkan guru membuat kontak mata dan berkomunikasi dengan pelajar semasa Proses Pengajaran dan Pembelajaran.


        Kesimpulannya, guru berperanan penting dalam membentuk disiplin dalam diri pelajar. Pelajar perlulah berdisiplin sama ada di sekolah atau di dalam bilik darjah. Kewujudan disiplin dalam bilik darjah sudah pastinya akan melancarkan Proses Pengajaran dan Pembelajaran (PDP). Aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan secara sistematik dan berkesan. Disiplin juga dapat membentuk akhlak pelajar supaya menjadi seorang pelajar yang baik.





Tentang Saya


                                        


Nama : Junan Ak Mandin
Nama Sekolah Praktikum : Sekolah Menengah Kebangsaan Wira Jaya, Ipoh.

Penglibatan di UPSI:
·         Exco Kesenian dan Kebudayaan Iksas
·         Exco Tajaan dan Sumbangan Perbayu
·         Ajk Pendaftaran Program Ramah Mesra Bersatu dalam Kepelbagaian
·         Ajk Pendaftaran Program Semaian Kasih Semurni Ikatan
·         Ajk Protokol Program Suai Mesra Bersama Penasihat Iksas (2013)
·         Ajk Makanan Program Suai Mesra Bersama Penasihat Iksas (2014)
·         Ajk Protokol Program Sambutan Gemerlapan Krismas
·         Ajk Pendaftaran Program Jom Balik Borneo
·         Ajk Makanan Program Karnival Sukan Persatuan Perbayu
·         Ajk Pendaftaran Program Hari Terbuka Iksas
·   Ajk Persiapan Tempat Program Jamuan Makan Malam Hari Gawai Dan Pesta Kaamatan
·         Ajk Persembahan Program Jamuan Makan Malam Hari Gawai Dan Pesta Kaamatan

Penglibatan di Sekolah:
·         Guru Penasihat Kadet Remaja Sekolah
·         Guru Penasihat Persatuan Sejarah dan Rukun Negara
·         Guru Penasihat Kelab Badminton
·         Jurulatih Kem 1 Murid 1 Sukan
·         AJK Gimik dan Persembahan Hari Anugerah Kokurikulum

·         AJK Hadiah Bulan Bahasa Kebangsaan 

Thursday, March 26, 2015

Kenangan Praktikum

Lagu Sekolah

Gemilang SMK Wira Jaya

Bersatu Tuju Kecemerlangan
Seiring Mengejar Cita-Cita
Sedia Menyahut Cabaran Tercipta
Mencapai Wawasan Yang Sempurna

Aktif Proaktif Dan Inovatif
Merentas Ilmu Paling Maksima
Disiplin Diri Budi Pekerti Mulia
Gemilang SMK Wira Jaya

Akademik Dan Sukan
IT Dan Kemahiran
Tetap Kami Jadikan Amalan
Menepati Sasaran
Matlamat Pendidikan
Ikrar Kami Pasti Dikotakan

Tercapailah Visi Dan Misi
Di Persada Yang Paling Gemilang
Semoga Usaha Direstui
Diberkat Tuhan Maha Kuasa

Semoga Maju Sekolah Kami
Gemilang SMK Wira Jaya
Gemilang SMK Wira Jaya

Lagu / Lirik : Encik Ariff Fadillah Khalil



SMK WIRA JAYA

Kenangan bersamamu takkan terlupakan

warna-warni pengalaman bersama selama 4 bulan 

banyak mengajarku erti kehidupan seorang guru


pernah terdetik di minda ingin segera pergi namun 

hari berganti hari terasa hati ini mula terpaut

sehingga hati berlagu sedih tatkala kaki melangkah pergi


akankah dapat kita bersua lagi?

andai tidak, doaku semoga anak-anak kandungmu

 kekal menjadi WIRA yang gagah perkasa 

di medan kehidupan 

segagah namamu WIRA JAYA. Amin.


terima kasih Wiraku!



Gambar - gambar kenangan semasa Latihan Mengajar di SMK Wira Jaya. 



Bersama Pengetua SMK Wira Jaya




Bersama PK Kokurikulum dan guru-guru kanan SMK Wira Jaya.




Bersama rakan- rakan praktikal.



Bersama beberapa orang murid yang membuat persembahan ketika Hari Anugerah Kokurikulum.


Sebilangan murid kelas 2B


Sebilangan murid kelas 2U